
Intan & Aida
Terus Mantapkan Stamina
Melihat kepada perwatakan dua gadis manis yang berasal dari negeri jelapang padi ini, Sudah tentu ramai yang tidak menyangka bahawa mereka adalah antara finalis DEWI REMAJA 09/10. Keperibadian yang bersahaja dan sesekali mencuit hati ini membuatkan mereka mudah untuk didekati. Malah komitmen yang diberikan oleh kedua-dua finalis ini juga wajar mendapat pujian.
Apa tidaknya, Intan dan Aida sanggup meluangkan masa dari Kedah ke Shah Alam semata-mata untuk menjayakan sesi fotografi anjuran REMAJA. Inilah yang dinamakan pengorbanan. Walaupun berada jauh di utara semenanjung namun setiap kali majalah REMAJA menjalankan aktiviti, kedua-dua mereka tetap memberikan komitmen yang jitu untuk mengumpul seberapa banyak pengalaman di pentas PENCARIAN DEWI REMAJA ini.
KEKAL AKTIF
Untuk menjadi seorang DEWI, sudah tentu penampilan fizikal harus dititik beratkan. Masing-masing memiliki bentuk badan yang cantik. Menurut Intan dan Aida, aspek kesihatan dan kecantikan memang dititik beratkan oleh kedua-dua mereka. Lebih-lebih lagi setelah berada dalam kategori finalis PDR ini. Persediaan yang rapi harus dilakukan sebelum menjelangnya sesi akhir pertandingan ini. Aspek pemakanan serta pemilihan aktiviti yang menyihatkan sudah tentu menjadi pilihan mereka. “Intan selalu melakukan aktiviti senaman di sebelah petang. Aktiviti ini sangat penting demi meningkatkan stamina tubuh badan Intan. Secara tidak langsung, sewaktu menjalani aktiviti sedemikian, Intan turut berpeluang menikmati pemandangan yang cantik memandangkan Intan tinggal di Langkawi. Selain menyihatkan tubuh, ia juga menyegarkan minda Intan,” jelas Intan. Seperti Intan, Aida juga memiliki caranya tersendiri untuk tampil yakin dan sihat. “Aida akan memastikan menu pemakanan yang berkhasiat adalah terdiri daripada sumber makanan yang berkhasiat,” tambah Aida pula.
WAKIL KEDAH
Kedua-duanya yang berasal dari Kedah, memiliki karakter yang begitu berbeza namun masing-masing punya satu matlamat yang sama. Intan dan Aida cukup yakin mereka dapat memberikan saingan kepada peserta lain. “Sebagai seorang gadis biasa yang berasal dari daerah yang agak jauh dari kota Kuala Lumpur, Aida mahu membuktikan bahawa kesemua gadis mempunyai peluang yang sama. Apa yang penting adalah keazaman serta dorongan kuat dari keluarga,” tegas Aida.
Selanjutnya dalam REMAJA 15 Julai 2010
|