MEMASAK LEBIH SERONOK DI BULAN RAMADAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Bulan Ramadan datang lagi. Begitulah pantas terasa pusingan waktu. Tentu sahaja wanita paling sibuk sepanjang bulan puasa ini. Setiap hari ke dapur menyediakan juadah berbuka puasa untuk keluarga. Biarpun di bulan puasa terkenal dengan bazar atau pasar Ramadan yang menjual pelbagai makanan di sana sini, tapi sekurang-kurangnya mesti ada satu atau dua lauk pauk daripada air tangan sendiri.
**********
Lagipun, sepanjang bulan Ramadan ini, paling penting untuk kita ‘menjaga’ perut supaya tidak meragam. Perut yang kosong sepanjang hari pasti menimbulkan masalah sekiranya diisi dengan pelbagai makanan, apatah lagi sekiranya makanan yang dibeli tidak bersih. Memasak sendiri membolehkan kita menyediakan masakan yang sihat dan bersih. Bagi keluarga besar pula, ditambah dengan harga barangan dan makanan yang semakin tinggi sekarang, memasak sendiri lebih berbaloi. Dapat mengelakkan pembaziran dan hidangan yang disediakan pula adalah mengikut selera keluarga.
Seronoknya memasak di bulan Ramadan ini ialah, selain menu kegemaran seisi keluarga yang dihidangkan, inilah waktunya untuk mencuba pelbagai resipi baru. Maklumlah selera keluarga di bulan puasa ni kadang-kadang ‘pelik’ sikit, mahukan kelainan dan rasa yang berbeza. Apatah lagi, melayan karenah anak-anak yang baru hendak belajar berpuasa. Ada-ada saja permintaannya. Pasti seronok dapat menghidangkan si cilik dan keluarga dengan menu-menu baru yang dimasak sendiri. Bagi memudahkan anda mengatur ‘jadual’ hidangan istimewa berbuka puasa setiap hari, edisi pra Ramadan Ogos ini berkongsi 250 lagi resipi. Hmmm.... banyak tu... pilih saja yang mana membangkitkan selera.
Ada juga resipi-resipi yang dipaparkan ini begitu mudah dan menjimatkan masa. Sudah tentu kami tujukan khas untuk wanita-wanita yang bekerja dan sentiasa sibuk memenuhi tuntutan rutin tugas. Begitulah wanita, biarpun penat sebaik pulang daripada bekerja, tetap mahu memasak untuk keluarga. Pada awal pagi pula bangun menyediakan hidangan bersahur. Resipi ringkas tetapi lazat dan menyelerakan tentu sahaja menjadi pilihan. Antara resipi mudah yang perlu dicuba ialah aneka sambal, menu berasaskan telur, bebola, kerabu dan pelbagai sup.
Sebagai penutup catatan ini, saya mewakili team majalah RASA ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADAN kepada semua pembaca majalah ini. Semoga anda semua sihat dan dirahmati di sepanjang bulan yang mulia ini.
Jumpa lagi dalam EDISI KHAS AIDILFITRI bulan hadapan.
Salam Secangkir Kata,
Teh Rohaya Yusoh
teh.rohaya@karangkraf.com.my