JAMUAN & AIDILADHA
Menutup Tirai 2008
Terasa baru sahaja menyambut hari raya Aidilfitri, sekarang nak menyambut hari raya lagi iaitu Aidiladha yang disebut juga sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Nampaknya, tirai 2008 ditutup dengan satu lagi perayaan. Hujung tahun ini juga banyak sekali jemputan kenduri dan jamuan. Maklumlah musim cuti sekolah dan banyak cuti umum. Kesempatan ini diambil banyak orang untuk mengadakan pelbagai majlis seperti berkhatan, doa selamat, bertunang, perkahwinan, cukur jambul dan sebagainya.
Di kampung saya, hari raya Aidiladha tidak kurang sibuk dan meriahnya. Beberapa sebelum raya, ‘aktiviti’ sudah pun bermula. Binatang-binatang yang hendak dikorbankan (biasanya lembu atau kerbau) sudah mula dikumpulkan (ditambat) di kawasan masjid. Kaum lelaki mula mengambil giliran berjaga malam untuk menjaga binatang-binatang tersebut. Maklumlah, takut kecurian kerana pernah berlaku beberapa kes sebegitu. Selepas sembahyang sunat Aidiladha, kawasan masjid menjadi ‘meriah dan sibuk’ seperti ada kenduri aktiviti penyembelihan. Kariah masjid beramai-ramai melapah daging korban untuk diagih-agihkan kepada fakir miskin dan orang kampung sendiri. Ada juga daging yang dimasak terus di masjid dan diagihkan yang sudah siap dimasak gulai atau kari.
Alhamdulillah, setiap tahun saya dan keluarga menerima sedekah daging korban. Ada ketikanya agak banyak sehingga hampir berminggu-minggu baru habis dimasak. Maklumlah, hendak makan masakan daging setiap hari tentulah jemu. Itu pun telah dipelbagaikan masakannya seperti masak kari, gulai kerisik, masak kicap, sup, goreng berlada, goreng kunyit atau pun dibakar dan dimakan dengan air asam. Saya percaya ramai juga pembaca yang melalui situasi yang sama seperti ini setiap kali menyambut perayaan Aidiladha. Begitu pun, kita tetap bersyukur dengan rezeki yang ada. Kepada pembaca yang masih tercari-cari resipi untuk memasak daging sedekah yang banyak diterima itu, bolehlah merujuk kepada majalah Rasa edisi Disember ’08 ini. Kami memahami dilema anda, dan diharap resipi yang dikongsi dapat membantu.
SELAMAT MENYAMBUT AIDILADHA & JUMPA LAGI TAHUN HADAPAN.
SALAM SECANGKIR KATA,
Teh Rohaya Yusoh
teh.rohaya@karangkraf.com.my