Ikan di laut asam di darat, kalau sudah jodoh pasti tidak ke mana. Begitulah kuatnya jodoh insan dari dua negara, Ashraf Danial Mohamed Sinclair dan Bunga Citra Lestari. Perhubungan jarak jauh di antara artis Malaysia dan Indonesia ini langsung tidak menjadi penghalang kepada percintaan pasangan ini. Segalanya terbukti apabila mereka selamat diijabkabulkan pada 8 November 2008 yang lalu di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta.
Perkenalan
Setiap perhubungan itu pasti bermula dengan titik pertemuan. Seperti pasangan ini, mereka mula dipertemukan sewaktu Bunga sedang menjalankan promosi album pertamanya, ‘Cinta Pertama’ di Kuala Lumpur. Ashraf yang ketika itu merupakan pengacara rancangan Astro, Beat TV ditugaskan untuk menemubual Bunga bagi menggantikan tugasan pasangan pengacaranya, Sazzy.
Selesai sahaja menemubual, Ashraf ada memberikan bunga serta sekeping nota yang tertera nombor telefon dan alamat emailnya. Respon baik yang diterima Ahsraf saat itu memberi petanda baik untuk mengenali Bunga dengan lebih dekat. Kedatangan Bunga ke Kuala Lumpur untuk merasmikan filemnya dua minggu selepas itu membuka jalan yang lebih luas bagi perkenalan mereka.
Dari saat itulah mereka saling berhubung melalui sistem pesanan ringkas (SMS). Bagi Bunga, memang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bercinta dengan ‘orang jauh’. Namun berbeza pula dengan Ashraf yang dari kecil lagi sudah dapat merasakan bahawa dia akan bersama dengan orang dari jauh (tanpa mengetahui sebabnya). Apa yang dianggap ‘mimpi’ selama ini menjadi satu kenyataan apabila hubungan mereka berakhir dengan satu ikatan sah setelah menjalin hubungan selama satu tahun setengah.
Ditanya mengenai kesukaran yang dihadapi selama meneruskan hubungan jarak jauh, mereka akui bahawa adakalanya mereka terpaksa menempuhi situasi yang agak sukar terutamanya tatkala menyentuh hal kesibukan kerja sehinggakan terpaksa membatalkan perjumpaan yang telah dirancang. Dalam hal itu, mereka melihatnya dari sudut positif dan memikirkan bahawa apa yang perlu adalah memperbanyakkan komunikasi sebagai alternatif, dengan harapan mereka dapat belajar cara untuk menyampaikan mesej dah memahami kehendak masing-masing.
Serasi
Bagi Ashraf, kehadiran Bunga bagai melengkapi kekurangan yang ada di dalam dirinya. Bunga pula menganggap suaminya adalah segalanya, tambah lagi dengan sikap Ashraf yang penyabar dan memahami dalam banyak perkara.
“ Kami ada banyak persamaan dan banyak juga perbezaannya. Dari segi persamaan, kami berdua memang workaholic. Kami mahu mencapai impian masing masing. Selain itu, kami gemarkan kucing dan kini telahpun memiliki seekor kucing, London. Kalau dari segi perbezaannya, saya suka bangun pagi tetapi Bunga sebaliknya,” ujar Ashraf sambil berjenaka.
Perancangan Masa Hadapan
Menyentuh soal kerjaya, selepas ini Ashraf dan Bunga akan sentiasa menyokong kerjaya masing-masing. Pembabitan mereka dalam bidang yang telah diceburi sebelum ini akan diteruskan seperti biasa. Tambahan lagi, rezeki yang diterima semakin baik. Ini dapat dilihat melalui tawaran kontrak 200 episod yang diterima mereka dari sebuah Production House bernama Sinemart.
Kita ikuti kisah menarik mereka ini yang dikongsi bersama Pesona Pengantin.