http://www.majalah.iluvislam.com/
   


“Dia terima saya seadanya,” - Bienda

Anak seni bertudung ini hadir ke pejabat Kumpulan Karangkraf tanpa secalit pun solekan. Namun sepasang mata yang galak, bibir yang menawan serta kulit yang mulus dan gebu, pasti ramai jejaka di luar sana yang tergoda dengan kecantikan luar biasa yang dimiliki gadis ini. Bukan itu sahaja, rupa paras menarik yang dimiliki disempurnakan lagi dengan anugerah bakat lakonan dan seni suara. Nor Razlinda Razli yang lebih dikenali dengan panggilan Bienda pernah menganggotai kumpulan nasyid Solehah dan mula popular dengan lagu ‘Penantian’ melalui album solo pertamanya.

PESONA PENGANTIN: Boleh ceritakan apa perkembangan terkini Bienda?
BIENDA: Bienda baru sahaja selesai menjalani penggambaran sitcom Nabil & Co., untuk TV9 dan kini sedang menanti filem ketiga Bienda iaitu ‘4 Madu’. Selain itu, Bienda sudah mula menyambung promosi album Bienda ‘Kenaliku’.

PESONA PENGANTIN: Dalam sibuk mengejar cita-cita sebagai seorang anak seni, sudahkah Bienda bersedia untuk menempuhi alam rumahtangga?
BIENDA: InsyaAllah. Bagi Bienda, berkawan dan kemudian berkahwin, itu semuanya satu proses. Mungkin pemikiran masyarakat kita terhadap golongan selebriti agak berbeza iaitu mereka yang sudah berkahwin mungkin dianggap akan kehilangan punca rezeki dan sebagainya tetapi bagi Bienda jika difikir dari sudut positif, rezeki itu datang dari Allah. Segalanya adalah ketentuan-Nya.

PESONA PENGANTIN: Mungkinkah Bienda pernah meletakkan target untuk menamatkan zaman bujang sebelum ini?
BIENDA: Ya, jika diikutkan dari zaman remaja dahulu, Bienda target untuk berkahwin pada usia 30 tahun kerana di usia itu kita akan menjadi cukup matang. Bienda terfikir untuk melengkapkan diri Bienda dengan ilmu-ilmu dan asas keperluan hidup. Tambah lagi kerana Bienda diajar untuk menjadi seorang yang berdikari sejak kecil lagi. Kini 50 peratus daripada apa-apa yang Bienda cuba capai sudah terlaksana dan selebihnya insyaAllah selepas berkahwin nanti.

PESONA PENGANTIN: Pada usia sekarang (25 tahun), adakah hati Bienda sudah dimiliki? Siapakah gerangan jejaka bertuah yang dimaksudkan? Boleh ceritakan sedikit mengenai dirinya?
BIENDA: Ya. Bienda cuma boleh gelarnya ‘Mr. K’. Dia berumur 27 tahun dan bekerja sebagai penerbit di sebuah stesen televisyen swasta.

PESONA PENGANTIN: Boleh ceritakan sedikit bagaimana detik perkenalan Bienda dan pasangan?
BIENDA: Kami mula berkenalan sewaktu Bienda menjalani penggambaran sebuah sitcom dan pada waktu itu dia bekerja di sebuah Production House. Kebetulan waktu itu dia sedang menggantikan tugas rakannya. Detik perkenalan bermula apabila dia menegur Bienda dan memberi tawaran untuk menjadi model iklan TV. Dari situlah kami mula berhubung dan selepas kira-kira tiga minggu, barulah kami berjumpa dengan tujuan untuk melihat keserasian antara kami.

PESONA PENGANTIN: Beralih kepada soal hati, apa yang membuatkan Bienda tertawan dengan pasangan?
BIENDA: Jika diikutkan, Bienda sudah berhadapan dengan ramai lelaki di luar sana. Yang membuatkan Bienda tertarik padanya adalah kerana kelembutan peribadinya, bersopan santun, dan sikapnya yang menghormati orang tua. Dia juga memiliki ciri-ciri lelaki impian Bienda iaitu mempunyai kesungguhan dalam memberikan komitmen dalam perhubungan serta keseriusannya untuk membina rumahtangga. Yang membuatkan Bienda lebih yakin untuk menerimanya adalah sifat mengambil berat dan kasih sayangnya dalam menjaga dan menerima Bienda seadanya. Sewaktu Bienda berhadapan dengan penyakit (jantung berlubang), dialah antara yang menjadi peneman setia Bienda. Lebih mengharukan kerana dia antara orang yang mampu menitiskan air mata kerana keperitan yang terpaksa Bienda tanggung.

Kita ikuti kisah menarik mereka ini yang dikongsi bersama Pesona Pengantin April 2010.