Sempena Hari Ibu kali ini, Nur menggabungkan dua ibu muda yang wajah mereka sering dilihat di kaca televisyen dan media cetak. Mereka dikenali kerana bakat dan komitmen dalam bidang masing-masing.
Anne Ngasri,28 pelakon popular merangkap ibu kepada tiga cahaya mata digandingkan bersama Syafi naz Yunus, 27 wartawan dan penyampai berita di stesen televisyen berkonsep Islamik, TV Alhijrah juga ibu kepada seorang putera. Walaupun berbeza kerjaya, kedua-duanya punya visi dan harapan yang sama dalam melahirkan anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Ketika sesi fotografi , kedua-dua ibu muda ini nampak serasi dan mudah mesra. Anne yang ringan mulut dan sentiasa tersenyum menjadikan suasana studio meriah, begitu juga Syafi naz yang peramah membuatkan sesi fotografi lebih santai.
Namun apabila diajak berbicara mengenai kehidupan sebagai seorang ibu berkerjaya, mereka tegas dan serius dalam usaha menjadi ibu yang berjaya. Harapan dan impian kedua-duanya ingin melihat permata hati menjadi insan yang soleh dan solehah.
Bagi mereka itu adalah harapan semua ibu. Bagaimanapun yang lebih utama adalah pelaksanaannya. Cakap memang mudah tetapi untuk merealisasikan itu yang sukar lebih-lebih lagi bagi ibu berkerjaya seperti mereka.
...................................................................
Anne – Kerja keras demi anak
Pemilik nama sebenar Naszriah Ngasri ini mengakui tidak punya banyak masa bersama anak anaknya kerana sibuk mencari rezeki lebih-lebih lagi sejak bergelar ibu tunggal. Masanya banyak dihabiskan dengan penggambaran drama dan filem. Bagaimanapun, dia memastikan setiap hujung minggu tidak bekerja lalu menghabiskan masa untuk melakukan aktiviti bersama anak anaknya.
Anne tidak kisah menolak kereta sorong ke sana kemari membawa anak-anaknya menonton wayang atau berseronok di Megakidz. “Kami akan menghabiskan masa di situ berjam-jam. Bagi Anne itu adalah saat yang menggembirakan kami semua. Walaupun singkat namun meluangkan masa berkualiti sekaligus mengeratkan hubungan kami berempat.
“Dalam tempoh lima tahun ini, Anne bekerja keras demi membesarkan anak-anak agar selepas itu Anne dapat memberi tumpuan membesar dan mendidik mereka yang ketika itu semuanya sudah bersekolah. “Buat masa ini dua anak lelaki Anne hantar ke tadika manakala yang bongsu baru berusia dua tahun.
Jadi sementara mereka belum bersekolah, Anne perlu tumpukan masa mencari rezeki agar apabila tiba masanya nanti, tumpuannya beralih kepada urusan pendidikan anak-anak pula,” jelasnya lagi yang menganggap anak-anaknya membuatkan dia lebih bersemangat dan punya matlamat.
Anne juga bersyukur kerana ibunya, Habibah Jaafar banyak membantu dan penguat semangatnya untuk bergelar ibu yang berjaya. Sejak kecil Anne dididik ibu agar tidak boros dan perlu menabung untuk masa depan.Didikan itu terbawa hingga hari ini. Anne pastikan setiap anak punya simpanan dan insuran masing-masing. Kedua-duanya penting untuk pendidikan mereka nanti dan Anne ingin melihat mereka menjadi insan yang berjaya dalam hidup.
...................................................................
Finaz – Seronok menjadi ibu
Syafinaz yang baru bergelar ibu juga gembira dan bahagia dengan kehidupannya hari ini. Teruja sejak bergelar ibu dan merasakan semakin matang selepas melahirkan Raikhan Wildan Muhammad Salehuddin. Kehadiran Wildan yang baru berusia lima bulan itu membuatkan Syafi naz setiap hari tidak sabar untuk pulang ke rumah menatap wajah anak kesayangannya itu.
Segala keletihan dan bebanan kerja lenyap tatkala melihat senyuman Wildan. Kini baru dia sedar betapa seronoknya bergelar ibu. Kalau boleh setiap saat ingin bersamanya, melihat senyumannya dan menjadi orang pertama menyaksikan setiap perkembangan anaknya.
“Saya ingin menjadi orang pertama lihat dia tersenyum, merangkak, berjalan dan bercakap. Setiap detik itu pasti indah dan tidak mahu ditinggalkan kerana ia menjadi sejarah dalam diari seorang ibu dan anak,” katanya yang mesra dengan panggilan Finaz.
Bagaimanapun dia sedar sebagai ibu berkerjaya tidak semua impian itu akan dinikmati .Tetapi dia berharap saatsaat penting itu akan dapat dirakamkan bersama suami. Sebagai ibu dia berharap dapat mendidik dan membesarkan anaknya dengan penuh kasih sayang.
“Sememangnya perasaan ketika bergelar anak dengan menjadi ibu berbeza. Selepas melahirkan baru Finaz faham betapa besarnya pengorbanan ibunya selama ini. Terdetik rasa kesal dan bersalah dalam dirinya apabila mengenangkan tingkah laku dan bicaranya yang ada kalanya membuatkan ibunya marah dan kurang senang.
“Masa sekolah dulu saya sering melawan cakap ibu. Baru sekarang saya sedar dan rasa bersalah kerana perbuatan saya itu. Namun saya bersyukur kerana ibu sentiasa bersabar ketika membesarkan saya,” katanya.
Selanjutnya dapatkan Majalah NUR MEI 2012 di pasaran sekarang!
|