Personaliti Cover
Saya teruja pertama kali bergelar bapa pada usia 45 - Shy8 @ Usop Wilcha
Perkataan wilcha itu sebenarnya ialah wheel chair (kerusi roda) yang digunakan oleh Usop yang membawakan watak orang kurang upaya. Disebabkan orang kampong dalam filem itu kurang fasih berbahasa Inggeris dan menggunakan loghat Perak, perkataan wheel chair bertukar menjadi wilcha. Wujudlah Usop Wilcha.
Majalah MIDI berbesar hati menampilkan Usop Wilcha bersama anaknya, Syed Mohamad Caliph Umar yang berusia satu tahun sembilan bulan bersempena Hari Bapa yang disambut setiap kali tibanya bulan Jun. Ternyata Usop Wilcha bahagia dengan kehadiran Syed Caliph yang dianggap pelengkap hidupnya
Perkahwinannya dengan gadis kecil molek, Noorafiza Abdul Aziz menyempurnakan kehidupan Usop Wilcha sebagai suami dan akhirnya bergelar bapa. Caliph bayi yang comel dan pernah menghiasi muka depan majalah Pa&Ma terbitan Grup Majalah Karangkraf.
“Tiada perkataan lain yang harus saya ucapkan selain bersyukur dengan anugerah Allah SWT. Saya bersyukur diberikan seorang isteri yang baik serta kini diberikan pula seorang anak. Air mata saya menitis kerana terharu kala isteri melahirkan Caliph. Saya tak mampu berkata-kata kala orang sekeliling mengucapkan tahniah. Bagi saya saat itu sangat membahagiakan. Saya menjadi seorang bapa pada usia 45 tahun,” kata Usop yang berasal dari Perak ini.
Caliph; nama unik
Nama Caliph sebenarnya ialah sebutan ‘Khalifah’ dalam bahasa Inggeris. Menurut Usop, Khalifah Umar ialah seorang pejuang agama yang disegani ramai pada suatu ketika dahulu. Justeru nama itu diberikan kepada anaknya supaya anak itu membesar menjadi insan berguna kepada dunia sebagaimana Khalifah Umar itu sendiri.
“Ada orang menggunakan huruf Q sebagai ganti huruf K untuk nama anak mereka. Namun saya lebih senang menggunakan bahasa Inggeris itu sendiri. Nampak kelainannya. Saya sendiri membahasakan diri sebagai ‘walid’ kepada Chaliph. Walid itu bermaksud lelaki, bapa atau ayah. Seorang anak perlu jelas bahawa bapa mereka ialah seorang lelaki. Panggilan itu merujuk kepada saya sebagai bapa dan lelaki,” katanya yang memberitahu penulis pertemuan pertama dengan isterinya ialah di majlis di sebuah hotel di ibu negara.
Bercerita mengenai cahaya matanya itu, Usop berkata, “Saya sudah berikan nama untuk bayi saya itu sejak dia di dalam perut ibunya lagi. Setiap kali memegang perut isteri, saya akan panggil nama Syed Mohamad Chaliph Umar. Dengan melakukan hal ini, selepas dilahirkan dan menangis, apabila namanya dipanggil, dia akan senyap seolah-olah tahu bahawa namanya dipanggil.
Caliph yang kini sedang membesar dengan sihat dan lincah sebenarnya ialah anak kedua pasangan romantic ini. Kandungan pertama Noorafiza dahulu gugur. Dia juga mengalami keguguran anak ketiga.
“Keguguran yang dialami oleh isteri saya membuatkan saya sedih. Pun begitu saya bersyukur kerana Chaliph tetap sihat dan lincah. Kehadiran Chaliph cukup membahagiakan saya. Saya juga gembira jika dianugerahkan anak lagi,” kata Usop yang juga penyampai radio Hot FM.
Bagaikan usop wilcha junior
Kala ditanya mengenai perwatakan Chaliph, Usop menyatakan bahawa anaknya itu sudah mempunyai karakter seorang artis atau pelakon. Chaliph kini sudah pandai main mata dan buat-buat tidak tahu apabila ditegur. Menurut Usop, tingkah laku anaknya ini ada kala lucu. Ketika ditegur kerana berkelakuan nakal, boleh pula si comel ini berbuat tidak tahu atau endah tidak endah.
“Keletah Chaliph menghiburkan hati saya dan isteri. Dia tak susah nak dijaga. Dia tak meragam kalau perutnya tak lapar. Makanan kegemarannya ialah biskut. Di rumah ada macam-macam jenis biskut. Chaliph tak suka disergah atau diagah ketika bangun tidur. Dia juga tidak gemar digomol. Sebagai kanak-kanak biasa, Chaliph juga suka menonton rancangan kartun,” kata Usop mengenai anak lelakinya itu.
Usop juga menegaskan bahawa dia sudah mempersiapkan diri menjadi seorang suami dan bapa sebelum berkahwin lagi. Dia sudah mengkaji perihal anak-anak
Ikuti temubual bersama personaliti cover kali ini di dalam MIDI isu 1 JUN 2012.
|