Personaliti Cover
Dramatis Dua Generasi Berkisah Mengenai Syawal
Bukan mudah menggandingkan dua personaliti yang menghiasi kulit hadapan majalah MIDI pada kali ini iaitu Ku Fridah, 58 tahun dan Aishah Atan, 40 tahun. Kedua-duanya sibuk di lokasi penggambaran drama. Ketika sesi fotografi diadakan, Ku Fridah sedang sibuk dengan penggambaran drama Mimpi Sabrina di Manchester, United Kingdom manakala Aishah Atan pula dengan drama ‘berhantu’ iaitu Halimah Jongang musim kedua.
Kala dikhabarkan bahawa mereka berdua akan menggayakan kebaya tajaan Butik Ang Eng, ternyata mereka gembira kerana kedua-duanya memang gemar mengenakan kebaya. Apatah lagi Aishah Atan yang kini terkenal dengan watak Mak Dara dalam drama bersiri Halimah Jongang. Watak Mak Dara menuntut Aishah Atan berkebaya sepanjang masa. Ternyata gabungan dua generasi dramatis Melayu ini serasi berganding berdua. Lagipun mereka pernah berlakon sebagai ibu dan anak dalam drama yang pernah ditayangkan satu ketika dahulu.
Ku Fridah Keperitan 20 Tahun Sudah Berlalu...
Bermula sebagai juru solek artis, Ku Fridah melangkah setapak lagi sebagai pelakon bermula pada tahun 1992. Dia kini boleh dianggap sebagai dramatis terkenal yang selalu menghiasi slot drama di televisyen. Watak yang paling diingati ialah melalui drama Kerana Cintaku Saerah yang disiarkan di TV3 pada tahun 2007. Malah ada media mengatakan melalui drama itulah nama Ku Fridah kini semakin dikenali. “Ya, saya memang mengakui nama saya semakin dikenali selepas watak dalam drama tersebut. Watak antagonis sebagai ceti kampung memberi kesan kepada orang ramai. Entah mengapa saya selalu diberi watak jahat dalam drama. Saya terima apa sahaja watak dan cuba bawakannya sebaik mungkin mengikut arahan pengarah,” kata Ku Fridah.
Aishah Atan Bertemu Madu di Rumah Mertua
Sejak umur 23 tahun Aishah Atan telah hidup sendirian sebagai ibu tunggal kepada Nurdiyana Shakina Ameera, 20 tahun, Nurdina Farzana, 6 tahun dan Muhamad Amar Hakim, 2 tahun. Nurdina Farzana dan Muhamad Amar Hakim ialah anak angkat yang dijaga sejak kecil lagi. Pada Ogos 2008, Aishah Atan berkahwin dengan Pengarah Kebudayaan Istana Budaya, Lokman Ghani, 52 tahun, seorang penggiat seni tanah air. Nama Lokman Ghani disebut-sebut apabila anak perempuannya iaitu Puteri Sarbainun atau dikenali sebagai Puteri Lily berkahwin dengan pengarah filem terkenal, Aziz M. Osman. Bergelar ibu mertua tiri kepada Aziz, maka Aishah turut sama mendoakan kebahagiaan buat pasangan tersebut.
Ikuti temubual bersama personaliti cover kali ini di dalam
MIDI isu 1 Sept 2010.
|