NOSTALGIA MEMBUAT BISKUT RAYA
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Masih lagi meneruskan ‘mood awal’ berpuasa dan berhari raya, edisi ini adalah Edisi Istimewa kedua dalam siri Bumper Hatrik setelah Edisi Istimewa Pra Ramadan Ogos lalu. Edisi Istimewa Aidilfitri ini tidak kurang hebatnya, dengan memaparkan lebih 250 resipi tradisional dan moden untuk dikongsi bersama pembaca semua.
**********
Pasti ramai bersetuju, suasana Aidilfitri di zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa adalah berbeza. Setiap zaman mempunyai kenangan tersendiri. Cuma, yang masih bertahan dan jarang berubah ialah juadah pagi raya yang dihidangkan setiap kali menyambut lebaran. Setiap keluarga mempunyai menu ‘warisan’ yang tidak boleh ditinggalkan setiap tahun. Hidangan tradisional untuk mengalas perut sebelum ke masjid untuk bersembahyang sunat Aidilfi tri seperti satu kemestian. Apalah ertinya hari raya tanpa lemang, ketupat, rendang, serunding, kuah kacang, lontong, laksa dan sebagainya. Manisan wajik, halwa dan dodol pula mengundang nostalgia.
Hari raya juga begitu sinonim dengan biskut dan kek. Sering kali juga resipi membuat biskut raya dan kek ini menjadi topik utama kaum wanita setiap kali menghadap meja hidangan. Tuan rumah tersenyum malu, tapi jauh di sudut hati berbangga apabila biskut dan kek yang dibuat sendiri digemari dan dipuji keenakannya oleh tetamu. Saya sendiri menyimpan banyak kenangan ketika belajar membuat biskut raya di zaman remaja. Resipi daripada majalah atau yang disalin daripada program masakan di televisyen menjadi rujukan. Emak pula menjadi peneman setia yang sabar walaupun kadangkadang berjaga hingga ke larut malam. Bukan sedikit juga adunan biskut dan kek yang dibuat tidak menjadi. Lain yang hendak dibuat, lain pula jadinya. Tetapi apabila biskut yang dibuat mendapat pujian saudara mara dan rakan-rakan, muka jadi merah padam menahan malu dan bangga. Setiap kali mengingatinya, saya tersenyum sendiri dan merindukan saat itu.
Begitulah istimewanya Ramadan dan Aidilfi tri. Pasti ada saja peristiwa yang bakal meninggalkan kenangan atau menjadi nostalgia kepada kita. Bagi pembaca yang tidak pernah atau jarang-jarang memasak sendiri juadah hari raya, apa kata anda mencubanya tahun ini. Jadikan Edisi Istimewa Aidilfi tri ini sebagai panduan. Lebih seronok, terutamanya membuat biskut dan kek, beramai-ramai. Ajaklah keluarga atau rakanrakan untuk mencuba bersama. Sudah pasti ia akan menjadi satu lagi memori indah untuk dikenang pada masa akan datang. Selamat mencuba.
SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI DARIPADA KAMI DI MAJALAH RASA.
Salam Secangkir Kata,
Teh Rohaya Yusoh
teh.rohaya@karangkraf.com.my