“Secara peribadi setelah berbual dengan Maya Karin saya dapat simpulkan bahawa dia seorang yang ramah, kelakar dan langsung tidak sombong walaupun memegang status ternama,” ujar Azila lagi yang kini menjalankan perniagaan sendiri setelah menimba pengalaman bekerja makan gaji. Pernah berkhidmat dalam pengurusan majlis dan bahagian khidmat pelanggan membuatkan Azila memperoleh pengalaman yang berguna sebelum mengusahakan perniagaan sendiri.
“Saya pernah bekerja di dua buah syarikat pengurusan majlis yang memberi pengalaman berbeza antara satu sama lain. Seterusnya bekerja di Celcom Axiata di bahagian khidmat pelanggan. “Kemudian saya menimba pengalaman di Kementerian Pelancongan bahagian Malaysia My 2nd Home (MM2H) iaitu program persaraan bagi warganegara asing yang mahu menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua untuk didiami.
“Berjawatan sebagai Pegawai Perhubungan Awam yang perlu berjumpa pelbagai manusia setiap hari daripada pelbagai negara, bermula daripada artis antarabangsa sehingga warganegara asing elit sentiasa mendedahkan saya tentang teknik komunikasi terbaik dalam berurusan dan juga mengatasi sebarang kemungkinan ketika masalah menimpa,” jelas Azila. Mengakui dirinya bukan seorang yang bergaya ketika bergelar pelajar namun kesemua itu boleh dipelajari menerusi apa sahaja medium kerana apa yang penting ialah semangat dan kerajinan seseorang itu dalam menentukan hala tujunya.
Kerana Izzah, Maya banyak menangis
Novel Ombak Rindu karya Fauziah Ashaari adalah novel Melayu pertama yang di baca oleh Maya Karin dalam usaha untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Kebangsaan satu ketika dahulu. Watak Izzah pula sangat berbekas di hatinya dan benarlah ia bagaikan dejavu kerana dia kini menggalas watak gadis yatim piatu yang terpaksa melalui dugaan demi dugaan dalam kehidupannya.
“Izzah adalah gadis tabah yang mengharungi kesukaran bermula saat kematian ibu dan ayahnya, kemudian dipelihara oleh ayah saudaranya, Taha. Namun Taha mengambil kesempatan lalu menjual kepada tauke kelab malam.
“Akhirnya Izzah bertemu dengan Hariz (Aaron Aziz) yang sanggup membeli daripada tauke kelab malam tersebut. Bermulalah cerita sedih yang mampu mengalirkan air mata fragmen demi fragmen kerana perlu berhadapan Mila Amylia (Lisa Surihani) yang menggugat kebahagiaan mereka berdua. Saya perlu akui Ombak Rindu adalah filem yang memerlukan saya banyak menangis dan saya pasti penonton juga akan tersentuh dengan jalan cerita ini,” kata Maya lagi yang sangat cantik tatkala bertudung.
Mengulas adengan intim bersama Aaron Aziz, Maya juga kekok pada mulanya namun dengan tunjuk ajar pengarah Osman Ali membuatkan keadaan jadi sempurna. Malahan cakap-cakap orang yang menyatakan Maya tidak sesuai memegang peranan Izzah membuatkan dia semakin kuat mahu membuktikan yang sebaliknya.
“Ada tiga babak intim dan yang pertama adalah yang paling susah, namun dengan kerjasama Aaron dan tunjuk ajar abang Osman, babak yang kedua dan ketiga membuatkan ruang itu menjadi lebih selesa. “Saya tahu ramai yang mengatakan saya tidak sesuai dengan watak Izzah, seorang gadis kampung yang naïf. Jika mereka kata rupa saya tidak sesuai, saya buktikan dengan bakat lakonan cemerlang. Untuk watak Izzah ini, saya banyak melakukan penyelidikan untuk menjadikan ia watak yang berbekas di hati penonton.
“Jika ada kekurangan daripada rupa, tidak sama seperti pembaca novel ini bayangkan, lihat pula lakonan saya, biarlah ia seimbang, Insya-Allah, saya mahu buktikan bahawa Izzah adalah sebahagian diri saya,” ujar Maya lagi yang sentiasa berfikiran positif dalam apa sahaja cabaran yang didepaninya.
Selanjutnya dapatkan majalah NUR DISEMBER 2011 di pasaran sekarang!
|