
Masih wujudkah mentua yang tidak berhati perut? Kalau difikirkan pada zaman yang serba moden ini, masalah ini tidak wujud tetapi kalau ikut akal logik, manusia penuh dengan pelbagai ragamnya, tidak mustahil timbul pelbagai masalah dalam rumah tangga disebabkan oleh mentua.
Minggu ini, kita berkongsi rahsia hati seorang pembaca yang tertekan dengan sikap suami yang berusia lebih muda darinya. Mungkin kerana ketidakmatangan suami membuatkan perkahwinan yang baru beberapa tahun sudah dua kali bercerai. Mentua yang tidak suka juga membuatkan hubungan menjadi huru-hara. Semoga kisahnya menjadi iktibar kepada semua pembaca. Saya berusia lewat 30-an, mempunyai sepasang cahaya mata. Alam perkahwinan ini kami tempuhi dengan penuh berliku kerana tiada restu mentua yang tidak sukakan saya kerana lebih tua dari anaknya.
Berbanding dengan bapa mentua, arwah menyenangi dan merestui hubungan kami. Untuk makluman, kedua mentua saya bercerai hidup. Sebelum kahwin, hubungan kami memang ditentang habis oleh ibu mentua hinggakan suami terpaksa meminta pertolongan dari bapanya dari urusan peminangan hinggalah ke hari pernikahan. Bagi pihak keluarga saya, mereka menerima seadanya walau pun kebanyakan dari adik beradik saya tidak menyukainya kerana taraf pendidikan suami yang lebih rendah dari saya selain dari usianya yang cukup muda. Ternyata, selepas mendirikan rumah tangga, hubungan kami banyak onak dan ranjaunya. Mungkin juga kerana tiada restu dari orang tua membuatkan hubungan kami sentiasa panas.
Selama berkahwin, suami sentiasa mendapat tekanan dari ibunya yang mahukan kami bercerai. Sepatutnya sebagai orang tua dia mendoakan kehidupan rumah tangga anaknya bahagia, tapi ini sebaliknya pula. Ibu mentua lebih suka kami bercerai-berai. Kesannya, sudah dua kali kami bercerai hingga kini tetapi Alhamdulillah, mungkin juga jodoh masih kuat, kami bersatu kembali demi anak-anak.
Sekali pun tinggal satu lagi saja talak buat kami, tetapi suami langsung tidak mengambil iktibar dari perkara yang berlaku. Dia mengemudi rumah tangga mengikut acuan dirinya sendiri tanpa memikirkan adakah saya bersetuju dengan caranya. Apa kata-katanya, saya mengikut saja, tanpa ada apa-apa bantahan. Sebagai isteri, saya langsung tidak boleh menyuarakan pendapat saya. Malah berkali-kali saya dikatakan tidak menghormati dirinya sebagai suami. Justeru itu, setiap langkah saya perlu berhati- hati kerana kalau tidak, saya diugut akan diceraikan buat kali ketiga. Jiwa saya membentak meminta pengertian daripada suami. Di sebabkan sikapnya, saya menjadi seorang rendah diri, tidak berkeyakinan dan pasif menerima apa saja yang mendatang. Saya tidak meminta sesuatu yang suami tidak mampu adakan. Lebih teruk, saya terpaksa mengambil ubat penenang apabila saya berasa sangat tertekan dengan kes cerai yang diulang tayang di fikiran.
Saya tidak dapat hapuskan kenangan pahit itu dari fi kiran dan saya rasa, saya tidak berhak mendapatkannya. Pernah satu hari anak sulung saya mendengar pertelingkahan kami dan secara senyap dia telah memotong gambar kami berdua. Saya bertanya kenapa dia memisahkan gambar tersebut dan jawapannya, dia sering melihat saya tertekan dan tak mahu ayahnya menyeksa saya lagi. Saya terkedu dengan jawapannya. Kalau keadaan ini berterusan saya risau jika anak membesar dengan situasi yang negative ini dan menjadi individu yang bercelaru. Berbeza betul diri saya sebelum berkahwin dan selepas berkahwin. Dahulu, saya seorang yang periang, berkeyakinan dan pasti dengan apa sahaja tindakan yang saya lakukan. Apa harus saya lakukan untuk mengubah sikap suami agar saya tidak lagi berterusan merayu agar diri saya tidak diceraikan lagi olehnya. Saya sudah penat merayu tapi terpaksa melakukannya lagi kerana kasihankan anakanak dan saya amat menyayanginya.
Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini.
