Komuniti Wanita Malaysia - Mingguan Wanita
Mingguan Wanita Cover
Mingguan Wanita

Hanya Lelaki - Pengakuan Duda

Ketegasan melampau runtuhkan rumah tanggaku

DI KALANGAN RAKAN-RAKAN, DIA DIKENALI SEBAGAI LELAKI YANG LEMAH-LEMBUT, TUTUR KATANYA SOPAN DAN BEGITU MENJAGA TINGKAH LAKU. SIKAPNYA ITU MENGUNDANG RASA CEMBURU DI KALANGAN RAMAI KENALANNYA TERUTAMA WANITA TATKALA MELIHAT CARANYA MELAYAN ISTERINYA, KAMILAH.

Kalau lelaki lain sibuk mengisi perut masing-masing, Husni begitu ringan tulang mengambilkan isterinya makanan dan minuman. Sikapnya ramai yang melabelkan mereka sebagai pasangan romantis. “Mungkin inilah sikap tersembunyi saya. Di hadapan orang, saya menunjukkan perilaku sebagai suami yang baik. Begitu romantis hinggakan semuanya menyangka kehidupan rumah tangga kami aman sentiasa,” kata Husni sambil meraup wajahnya. Perlakuannya tadi menggambarkan seolah-olah dia menyesal dengan apa yang dilakukannya.

Lama dia berteleku, malah jauh juga dia merenung ke hadapan. Pada wajahnya tergambar seribu penyesalan. Lama terdiam, Husni menyambung kembali ceritanya. “Kalau orang tengok saya sangat romantis di luar tetapi di rumah saya bagaikan singa yang sentiasa mahu menerkam mangsanya. Tutur kata yang manis bagaikan ngauman harimau. Sikap saya panas baran. Pantang berlaku sedikit kesilapan, tangan malah kaki saya begitu mudah hinggap ke tubuh Kamilah. Tidak pernah timbul rasa kasihan kepadanya bahkan saya merasakan seperti satu kepuasan apabila dapat memukulnya. Ia umpama satu beban terlepas di bahu. Semarah-marah saya kepada Kamilah, saya tidak pula memukul anak kami yang masih kecil,” katanya yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan.

Lelaki bertubuh tegap ini meneruskan ceritanya. “Mungkin saya terpengaruh dengan cara didikan bapa yang sangat tegas kepada emak. Saya rasakan, bila saya berkahwin, isteri adalah hak milik mutlak saya dan menjadi tanggungjawab saya untuk mendidiknya dengan sempurna. Sebolehnya, saya tidak mahu isteri ingkar dengan arahan yang saya berikan sebagai seorang suami. Bagi saya juga, suami harus dilayan dengan baik, diberi keutamaan dan disanjung agar kehormatan ketua keluarga dipelihara.

“Itulah yang saya pandang daripada bapa yang juga seorang pesara tentera. Ibu memang patuh habis kepada bapa dan langsung tidak berani melawan. Apa saja yang bapa cakap, ibu akan menganggukkannya walaupun pada pandangan saya, ia salah. “Hormat emak kepada bapa membuatkan saya terfikir, jika saya tegas begini sudah tentu isteri juga akan menghormati saya sebagaimana emak menghormati bapa. Paling saya tidak suka kalau isteri menderhaka, bertindak curang di belakang saya dan rumah tangga yang kami bina ini runtuh. Sebab itulah saya menyekat semua kebebasannya,” katanya sambil mengakui dia sangat menyesal dengan semua tindaktanduknya. Seribu penyesalan

“Inilah kesalahan besar yang pernah saya lakukan. saya lupa, isteri juga seorang manusia yang berhak disayangi, dibelai dan dimanjakan. Semata-mata obsess takut isteri melawan, saya menyekat semua perlakuannya. Kalau dia salah, saya akan pukul bantai,” Husni yang mengakui dia amat tersentak apabila mendapat tahu isterinya telah ke pejabat agama dan menuntut perceraian kerana tidak tahan didera secara fizikal dan mental. Bagi Husni, menjejakkan kaki ke pejabat agama umpama merendahkan tarafnya sebagai suami.

“Kali pertama tahu isteri ke pejabat agama, saya memukulnya bagaikan orang yang dirasuk syaitan. Melihat isteri yang merayu-rayu agar dilepaskan, saya berhenti memukulnya. Saya tidak suka dia membuat sesuatu di luar pengetahuan saya. Rumah tangga ini bagi saya bagaikan satu bangunan yang sudah kukuh. Kalau strukturnya kukuh, maka kukuhlah ia. Kalau rapuh di dalam, maka robohlah ia. “Inilah kesilapan saya. Selepas memukul Kamilah, saya meminta maaf di atas perlakuan saya itu. Awalnya Kamilah mahu membuat report polis tetapi selepas saya merayu dan berjanji akan mengubah sikap, dia masih lagi memberi saya satu peluang. Katanya, kalau saya memukulnya lagi, maka hubungan kami akan putus. Takut kehilangannya membuatkan saya bersetuju.

“Namun campur tangan keluarganya yang tidak tahan melihat tubuh badannya yang lebam-lebam, membuatkan saya terpaksa melepaskan Kamilah. Mereka mengugut mahu melaporkan perlakuan saya ke pihak polis dan menjejaskan pekerjaan saya sebagai penjawat awam. Ternyata dosa saya dibalas oleh Allah apabila saya terpaksa melepaskan Kamilah walau pun hati saya sangat menyayanginya sepenuh hati,” kata Husni yang mengakui dia sudah serik dengan perangai buruknya sendiri. Ibarat, sudah jatuh ditimpa tangga, Husni mengakui kini hatinya sangat sunyi dan sering terfikirkan tentang bekas isterinya tetapi tentangan dari keluarga isteri membuatkan dia makan hati.

 

Selanjutnya di dalam majalah MINGGUAN WANITA minggu ini!





Mingguan Wanita