Ya Tuhan!
Derita isteri punya suami 'kaki perempuan'
Tersepit dalam sesuatu situasi sering kali membuatkan
kita dalam dilema. Kalau masalah tidak dihuraikan, ia akan menjadi permasalahan
yang agak rumit. Minggu ini kita berkongsi masalah dihadapi oleh seorang isteri.
Memiliki suami yang sentiasa “memancing” perempuan sering kali membuatkan
isteri patah hati. Sikap tidak serik-serik suami yang “kaki perempuan” membuatkan
rumah tangga menjadi huruhara. Minggu ini, kita akan berkongsi masalah dihadapi
seorang isteri yang sudah berkahwin lebih suku abad. Namun sikap suaminya
tidak pernah berubah.
Semoga kisahnya menjadi iktibar kepada kita semua. Saya dan suami masing-masing
berusia awal 50-an dan telah berkahwin lebih dari suku abad. Kami dikurniakan
empat orang anak dan kesemuanya belajar di universiti, ada di peringkat sarjana
dan ijazah pertama. Sepanjang berkahwin, suami tidak pernah sunyi dari skandal
baik di pejabat mahu pun ketika berpeleseran. Dia bangga dengan rupa paras
yang kacak dan mempunyai keterampilan.
Melihat perangai suami, dahulu saya tidak faham maksud sekufu. Tetapi sekarang
baru saya faham maksudnya. Kami sangat berbeza. Baik dari aspek pendidikan,
jawatan dan kewangan. Tetapi cinta mengatasi segalanya. Sebahagian besar isi
rumah, saya yang tanggung. Untuk makluman, kami bertugas sama di sebuah negeri.
Setelah 15 tahun berumah tangga, kami diuji, suami main cinta dengan rakan
sepejabatnya, isteri orang yang akhirnya bercerai setelah suaminya mendapat
tahu. Suami bertegas ingin menikahi teman wanitanya dan saya pula membuat
keputusan meninggal suami bersama anak-anak dengan membawa hati yang lara.
Selepas dia bernikah, barulah saya akan memfailkan tuntutan fasakh. Saya membuat
permohonan bertukar negeri tetapi suami berjaya memintasnya dan permohonan
itu gagal. Namun empat bulan selepas itu, kami berdua ditukarkan serentak
ke sebuah negeri lain.
Suami tidak jadi menikahi teman wanitanya dan katanya, dia tidak mampu membesarkan
anak-anak kerana masalah kewangan, tambahan pula teman wanitanya mempunyai
tiga orang anak. Bermakna suami perlu menjaga tujuh mulut kecil ketika itu.
Dalam bertugas itu, saya dinaikkan pangkat dan ini memaksa saya ditukarkan
lagi. Ketika itu, tiga anak sudah ke universiti. Tidak sampai tiga tahun di
negeri itu, suami main kayu tiga lagi, kali ini masih sama, dengan isteri
orang. Saya terus menerima ujian Allah ini.
Ketika bercinta, telefon bimbit tidak pernah lekang dari tangannya. Suami
nekad tinggalkan saya dan tinggal menyewa di rumah kekasihnya. Mereka bersekedudukan.
Saya nekad berjumpa kekasih suami dan meminta mereka bernikah sahaja dan minta
dia bercerai dengan suaminya kerana saya tidak mahu mereka terus berdosa.
Suami mengasari saya dan tangannya sampai ke muka saya. Mulai dari saat itu,
hati saya kering untuk suami dan sudah tertutup untuknya. Cinta, kasih dan
sayang, semuanya sudah hilang. Yang tinggal hanya benci semata-mata.
Semasa suami “main gila”, semua belanja, saya yang tanggung. Memang sedih
kerana saya tidak pernah bertukar baju hanya untuk kepentingan anak-anak.
Namun anak-anak meminta saya menyayangi diri sendiri dan memberi pendapat,
adakah bapa mereka berharga bagi saya? Jika dia bernilai teruskan hidup sebagai
isteri dia. Kalau tidak tinggalkan sahaja. Bapanya tidak memberi nilai apa-apa
pun kepada saya dan anak-anak. Saya ambil keputusan ke mahkamah syariah meminta
nasihat.
Saya mempunyai tiga pilihan, bercerai, teruskan hidup dengan derita berterusan
atau biarkan dia menikmati hidupnya dengan kekasih hati secara bermadu. Saya
membuat keputusan berhenti kerja dan kembali ke negeri kelahiran saya dan
tinggal di rumah yang saya beli. Saya mendapatkan nasihat dan dimaklumkan
saya tidak berdosa meninggalkan suami kerana ia bukan rumah yang suami sewakan.
Bukan itu saja, tiada satu pun keperluan saya suami sediakan. Nafkah jauh
sekali. Suami tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan nafkah. Suami masih
lagi tinggal di rumah kekasih hatinya hingga sekarang. Saya sudah tidak peduli
lagi apa yang berlaku dengannya. Apabila berjauhan saya rasa tenang dan tidak
pernah pun merasa tekanan. Tetapi suami ada juga menjenguk dan katanya dia
tidak akan melepaskan saya hingga dia mati sekalipun.
Dia akan balik menjenguk saya untuk memastikan tidak sampai tempoh empat bulan
supaya saya tidak dapat memfailkan taklik di mahkamah. Nyata suami lupa dengan
hukum Allah. Isteri pun ada kuasa di dalam sesuatu perkahwinan. Saya bercadang
untuk memfailkan tuntutan fasakh selepas per nikahan anak saya awal tahun
hadapan. Apakah tindakan saya itu betul? Selama 13 tahun, saya cuba memperbaiki
keadaan tetapi suami tidak pernah insaf. Saya buntu kerana tiada tempat untuk
mengadu, kedua ibu bapa dan juga mentua telah lama tiada.
Saya takut dilaknati Allah kerana semakin lama dibiarkan benci saya makin
bertambah dan saya takut akan kemungkaran Allah. Tolonglah saya.