Personaliti Cover
"Saya teruja tunggu kelahiran cucu pertama" - Sheeda
Biarpun sering diremehkan, namun irama dangdut terus mekar dan punya pengikut tersendiri. Begitu juga dengan penyanyi-penyanyi irama dangdut, biarpun sering diperkatakan dan dihimpit dengan pelbagai kontroversi, peminat tetap tidak kurang berbanding dengan penyanyi lain-lain irama.
Rashidah Hamid atau nama glamornya Sheeda adalah antara artis dangdut yang suatu ketika dahulu telah menyemarakkan pentas seni suara tanah air. Biarpun kini dia jarang muncul di kaca televisyen, namanya tetap diingati, malah sering juga menghangatkan industri seni dengan kisah-kisah kontroversinya.
"Eh, mana ada kontroversi. Kita dah masuk usia MIDI, tak mahu lagi pening-pening memikirkan cerita-cerita kontroversi ni," katanya tertawa sambil dimekapkan oleh jurumekap Midah Khan. Mungkin dia tidak mencari atau mencipta kontroversi, namun hakikatnya seperti lain-lain penyanyi dangdut negara ini, Sheeda sering terkena tempias tersebut.
"Terus terang, kadang kala saya tidak tahu apa yang dikatakan kontroversi. Tapi setelah berbelas tahun dalam industri, saya menerima apa-apa sahaja yang mendatang dengan fikiran terbuka. Lagipun tujuan saya adalah untuk
mencari rezeki, bukan mencari kontroversi," katanya lagi.
Tidak Sabar Menimang Cucu
Dalam sibuk memenuhi undangan menyanyi yang tidak pernah putus, Sheeda memberitahu penulis yang dia kini sedang menunggu satu peristiwa besar dalam hidupnya. "Saya sedang menunggu kelahiran cucu pertama dalam masa dua bulan lagi," katanya penuh teruja. Menurut Sheeda, puteri sulungnya, penyanyi dan pelakon, Bienda kini sedang sarat mengandung anak pertama. Kegembiraan anak kesayangannya itu sudah tentu turut dikongsi oleh Sheeda.
"Memang teruja. Malah rasanya lebih teruja daripada ketika kita mengandung dulu. Tak sabar-sabar rasanya hendak menatap wajahnya, apatah lagi mendukung dan menciumnya. Hanya Allah sahaja yang tahu gejolak di hati ini sebab memang sukar hendak menggambarkan perasaan sebenar dengan kata-kata," Sheeda penuh ceria berkongsi perasaannya.
Tambahnya, sebagai ibu, dia sering berkongsi pengalaman diri dengan anaknya. "Saya dan Bienda memang rapat. Dalam dia sibuk menyiapkan diri untuk menjadi ibu, saya sentiasa berkongsi pengalaman dan permasalahan yang dihadapi. Sebagai ibu, sudah tentu saya mahu Bienda melalui detikdetik ini dengan tenang.
Selain itu saya juga sering mendoakan yang terbaik buat dirinya," katanya mengakui amat berdebardebar menunggu kelahiran cucu pertamanya itu.
Aktiviti seni
Dalam sibuk membilang hari, penyanyi yang popular dengan lagu 'Angkat Kaki' ini masih terus aktif dengan kerjaya nyanyiannya. "Alhamdulillah, biarpun muzik dangdut bagaikan sepi sekarang ini, undangan menyanyi untuk saya sentiasa ada. Malah boleh dikatakan dalam sebulan sekurang-kurangnya ada dua undangan untuk saya." Sheeda percaya bahawa masih banyak peminat yang suka irama dangdut. "Dangdut sebenarnya tidak pernah mati. Malah ia sudah lama mewarnai industri muzik negara kita. Ia adalah irama yang cukup menyenangkan dan menenangkan sebab itu banyak yang menyukainya."
Ibu kepada empat cahaya mata ini juga menyanggah pendapat bahawa dangdut muzik murahan atau kelas bawahan. "Atas dasar apa orang meletakkan muzik dangdut dalam kategori ini?" soalnya. "Terus terang saya katakan yang peminat dangdut bukan setakat orang biasa sahaja, tetapi juga golongan VIP. Jadi di mana rasionalnya orang mengatakan ini muzik murahan?"
sambungnya tegas.
Biarpun bakal bergelar nenek, Sheeda belum ada perancangan mahu mengurangkan aktiviti nyanyiannya. "Nyanyian adalah antara sumber rezeki kami sekeluarga. Selagi ada rezeki, dan suami membenarkan, saya akan terus menyanyi," katanya yang turut aktif dalam kegiatan amal bersama Karyawan.
Jodoh datang lagi
Bercerita tentang perkahwinan ketiganya yang hangat diperkatakan beberapa tahun lalu, penyanyi yang mudah didekati itu sambil tertawa berkata, "Ha, dah empat tahun pun orang nak tahu juga ke?" Sheeda tidak menafikan bahawa
mungkin kerana dia tidak menggembargemburkan tentang perkahwinannya
itu, maka banyak yang merasakan seolah-olah dia mahu merahsiakan hal tersebut. Tambahan pula suaminya, Shukri Hashim, jauh lebih muda daripada dirinya.
"Sebenarnya bukan nak merahsiakan. Perkara yang baik buat apa nak dirahsiakan. Cuma ini bukanlah perkahwinan pertama yang hendak dicanangkan ke seluruh pelosok tanah air. Lagipun banyak hati yang perlu kami jaga terutama hati anak-anak saya dan juga hati keluarga sebelah suami," jelasnya.
Sheeda dan Shukri bernikah pada 7 Oktober 2008 di kampung Sheeda di Kampung Pasir Pekan, Kelantan. Menurut Sheeda, perkahwinannya boleh diibaratkan seperti ungkapan 'cinta tak mengenal usia'.
Dia memberitahu penulis, bukan mudah untuk dia dan suami ke jenjang pelamin kerana mereka terpaksa berusaha meyakinkan keluarga masingmasing. "Untuk pengetahuan, perkahwinan saya yang ketiga kali ini bukanlah semudah yang disangka. Anak-anak saya dah besar dan hati merekalah kena saya jaga. Anak-anak adalah segalanya, jadi saya tidak boleh belakangkan mereka. Mereka bukanlah menentang, cuma mereka tidak mahu pengalaman pahit yang lalu berulang lagi sebab mereka sayangkan saya." Begitu juga dengan keluarga
Shukri. Awalnya mereka tidak begitu bersetuju kerana bimbang hati anaknya
dipermainkan oleh Sheeda.
"Alhamdulillah semuanya berakhir dengan lancar setelah mereka melihat kesungguhan kami berdua. Lagipun Shukri mahu agar apa-apa pun masalah yang timbul kami selesaikan sebelum kahwin. Dia juga tak mahu ada masalah yang timbul di belakang hari."
Anak kelahiran Kelantan ini juga menegaskan bahawa tidak timbul perasaan bangga dalam dirinya apabila jodoh kali ketiganya ditakdirkan dengan seorang guru yang 10 tahun lebih muda daripadanya. "Saya berkahwin dengan suami lebih muda bukan untuk berbangga, tetapi ia jodoh yang ditetapkan. Jika ada yang beranggapan saya mengamalkan petua tertentu untuk memikat lelaki muda, ia tidak benar kerana saya tidak berbuat demikian," katanya.
Ikuti temubual bersama personaliti cover kali ini di dalam MIDI isu 1 FEB 2012.
|