Syada Si Cilik Berbakat Besar Aksinya cukup lincah di atas pentas tatkala membuat persembahan. Kelincahannya itu seperti tidak menggambarkan usianya yang baru sahaja mencecah 12 tahun. Dia mampu menghiburkan peminatnya tidak kira usia dan bangsa. Kerana darah seni yang mengalir dalam diri Syada, dia kini turut sama menyertai kakaknya dan melibatkan diri dalam bidang nyanyian. Apakah agaknya rintangan Syada dalam bidang yang diceburinya apabila ayah dan kakaknya sudah terlebih dahulu mencipta nama dalam bidang seni ini? Bagaimana pula Syada mengulang kaji pelajaran sambil mengejar minatnya dalam bidang seni? Pasti adik-adik tertanya-tanya bagaimana agaknya Syada mengendalikan jadualnya dalam sehari dan bagaimanakah dia mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan UPSR yang semakin hampir. Jawapannya terdapat dalam ruangan Kenali Saya kali ini.
Minat Bidang Seni
Setiap daripada adik-adik tentu mempunyai minat dalam sesuatu perkara. Ada antara kamu yang meminati sukan, ada yang meminati subjek Matematik, dan ada pula yang suka dengan bidang pertanian. Begitu juga dengan adik Syada, minatnya dalam bidang seni membuatkan dia begitu yakin dengan keputusannya bagi mendalami lagi minatnya dalam bidang seni. Tambahan lagi ayah dan juga kakaknya turut sama memberi dorongan kepada Syada dalam mengembangkan minat serta bakatnya. Bukan mudah bagi Syada yang masih lagi menuntut di sekolah rendah ini bagi meneruskan minatnya tanpa sokongan keluarga. Ibu Syada sendiri yang mesra dengan panggilan Kak Zie turut sama menemani Syada jika terdapat jemputan membuat persembahan ataupun uji bakat. Ibunya bukan sahaja menguruskan Syada, malah dalam masa yang sama menguruskan kakaknya, Shila. Begitulah kasih sayang seorang ibu yang sentiasa menyokong kerjaya Syada.
Ayahnya pula banyak memberi tunjuk ajar dari segi vokal dan nyanyian. Siapa yang tidak kenal dengan ND Lala yang pernah terkenal suatu ketika
dahulu. Dengan pengalaman dan juga bakat, si ayah telah memberikan tunjuk ajar kepada anaknya supaya bakat anaknya tidak sia-sia begitu
sahaja. Ketika di rumah, Syada mempunyai waktu latihan khas supaya dia dapat mempertingkatkan lagi mutu vokalnya. Selain daripada itu, dia juga
sering mengikut ayahnya dan melihat sendiri ayahnya membuat persembahan. Kakak kepada Syada, Shila adalah seorang penyanyi yang kini sudah cukup terkenal di Malaysia. Sebagai kakak, Shila sering memberikan tunjuk ajar kepada adiknya yang baru sahaja bergiat di dalam bidang seni ini. Ketika sesi penggambaran ini dijalankan, Shila turut sama memberi tunjuk ajar kepada adiknya bagaimana untuk beraksi di hadapan kamera. Selain itu, ke mana sahaja aktiviti nyanyian Shila, Syada pasti akan turut sama mengikutnya. Dengan cara ini, Syada dapat belajar secara tidak langsung daripada kakaknya. Begitulah bagaimana mereka sekeluarga sering memberi sokongan antara satu sama lain.
Ikuti selanjutnya dalam ebaca Sept 2010
Hebat Dalam Sukan dan Akademik
Biodata
Nama: Haziq Haiqal Bin Zulkifl i
Umur: 12 Tahun
Tarikh Lahir: 23 Jun 1998
Sekolah: SK Taman Sri Muda (2), Shah Alam, Selangor
Makanan Kegemaran: Nasi goreng
Hobi: Bersukan dan Aktiviti Riadah
Mata Pelajaran Kegemaran: Sains
Adik-beradik: 3 Orang adik-beradik
Seimbangkan Minat
Tidak ramai yang mampu seimbangkan minat dan juga akademik. Bagi mereka, lebih baik menumpukan dalam satu perkara sahaja. Tetapi, bagi Haziq minatnya terhadap sukan dan tanggungjawabnya terhadap akademik membuatkan dia fokus kepada dua perkara. Hasilnya, setiap acara sukan
yang disertainya mampu membawa pulang piala dan setiap peperiksaan yang didudukinya sentiasa mempamerkan markah yang baik. Bagi Haziq, tidak sukar bagi menyeimbangkan (balancing) kedua-duanya terutama apabila mendapat sokongan daripada ibu bapa, guru-guru, serta rakan. Jikapada waktu petang dia menumpukan perhatian terhadap sukan, pasti pada sebelah malamnya dia akan mengulang kaji pelajaran. Ketika di dalam kelas, Haziq menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran dan sentiasa menyiapkan kerja sekolah. Itulah sahaja formula yang digunakan bagi menguasai kedua-dua bidang yang berlainan ini.
Mengira Hari Menjelang UPSR
Dalam menjelang Hari Raya Aidilfi tri yang mulia ini, peperiksaan UPSR juga bakal menjelang tiba. Selepas seminggu menyambut Hari Raya, maka
tibalah masanya bagi adik-adik yang menuntut dalam tahun enam untuk mengambil peperiksaan. Begitu juga dengan Haziq, dia juga turut sama merasakan debaran peperiksaan yang bakal menjelang. Katanya, apabila menghampiri UPSR, aktiviti sukannya terpaksa dikurangkan supaya perhatian dapat diberikan kepada peperiksaan yang lebih penting bagi murid tahun enam tersebut. Lebih-lebih lagi ketika menjelang UPSR, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Jadi, aktiviti sukannya menjadi terhad (limited). Tetapi, tidaklah dihentikan serta-merta kerana sukan juga amat penting walaupun ketika bulan puasa.
Kenali Haziq dalam ebaca Sept 2010
Amalkan Program "Halus" Sejak 90-an Lagi
Sejarah Sekolah
Sekolah ini telah mula dibuka dan beroperasi mulai Disember 1994 dengan hanya seramai 385 orang murid yang didatangkan daripada sekolah SK Taman Sri Muda (1). Tujuan sekolah ini dibina adalah kerana kepadatan murid yang bersekolah di SK Taman Sri Muda (1) yang ketika itu telah melebihi 2500 orang murid. Oleh itu, sekolah ini telah diberi nama SK Taman Sri Muda (2) yang menunjukkan bahawa mereka adalah sekolah kedua yang terdapat di kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam ini. Pertambahan murid dari tahun ke tahun juga menunjukkan perkembangan yang positif kerana angkanya sentiasa bertambah. Kini, pelajar SKTSM(2) telah menjangkau lebih daripada 1500 orang murid. Terdapat 2 sesi di sekolah ini iaitu sesi pagi dan sesi petang. Sesi pagi telah dikhaskan bagi murid-murid tahap 2 (4,5,6) manakala tahap 1 (1,2,3) pada sesi petang. Bagi struktur sekolah pula, sekolah ini terdiri daripada tiga blok bahagian dan setiap blok mempunyai 12 buah kelas. Setiap bangunan mempunyai tiga tingkat. Sekolah ini juga lengkap dengan kemudahan-kemudahan bagi murid-murid termasuk makmal komputer (computer lab), padang sekolah dan juga kantin.
Menyambut Hari Kanak-Kanak
Pasti para pelajar SKTSM (2) terasa dihargai apabila sekolah ini menyambut hari kanak-kanak pada setiap tahun.Kata guru sekolah ini, sambutan hari kanak-kanak adalah yang paling dinantikan pada setiap tahun kerana mereka begitu teruja dengan sambutan yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Pada hari kanak-kanak yang telah disambut oleh kanak-kanak seluruh dunia itu, mereka mengadakan sambutan secara kecil-kecilan di sekolah. Sambutan ini telah berlangsung selama satu hari di dewan sekolah dengan disertai oleh para guru dan juga murid. Setiap kelas
dikehendaki mempersembahkan persembahan bagi mewakili (representing) kelas masing-masing. Persembahan yang paling menarik akan diberi hadiah dan juga piala. Ketika ini juga, tokoh kanak-kanak telah dipilih dalam kalangan pelajar SKTSM (2) oleh guru-guru mereka sendiri. Paling dinantikan, pastinya jamuan yang telah disediakan oleh para guru di kantin sekolah. Selain itu, sambutan seperti hari guru, hari kantin, hari anugerah cemerlang, dan hari sukan juga turut disambut pada setiap tahun. Memang menarik sungguh aktiviti-aktiviti yang telah diadakan di sekolah ini.
Jangan berlengah lagi untuk mendapatkan e-baca keluaran Sept 2010 di kedai yang berhampiran.