Versi Digital

MELANGKAH KE TAHUN BARU DENGAN SIHAT & CERIA

Salam tahun baru kepada semua pembaca majalah Rasa. Semoga tahun 2009 ini akan menjadi tahun yang menggembirakan dan bakal memberikan kenangan indah untuk kita semua. Melangkahlah ke tahun baru dengan perasaan gembira dan ceria. Paling utama, tentu sahaja kita mengharapkan kesihatan diri sendiri dan keluarga akan sentiasa berada dalam keadaan baik sepanjang tahun dan pada tahun-tahun yang akan datang.

Memahami hati ibu bapa yang sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, majalah Rasa memulakan tahun baru ini dengan edisi khas berkongsi pelbagai menu untuk anak. Selain menarik dipandang, resipi-resipi yang dipaparkan juga berkhasiat dan sesuai dengan perkembangan dan keperluan mereka. Lagi pun, menyediakan sendiri makanan untuk anak-anak di rumah ataupun dibawa sebagai bekalan ke sekolah, lebih selamat dan terjamin kebersihannya. Selera si anak juga ada ketikanya begitu sukar untuk difahami. Ramai ibu-ibu yang mengeluh dan merungut kerana anak-anak susah nak makan, terutama makanan utama seperti nasi, laukpauk dan sayur. Ada-ada saja alasan anak untuk mengelak daripada makan sehingga menguji kesabaran ibu. Apa yang kami harapkan, dengan lebih 80 resipi khusus untuk si cilik yang dipaparkan kali ini, banyak yang dapat memenuhi selera mereka. Malahan, banyak juga daripada resipi-resipi tersebut sesuai dinikmati seisi keluarga. Dan, tidak salah sekiranya sesekali anda mengambil sedikit masa menunjukkan bakat dan kreativiti menghias dengan cantik makanan yang hendak dihidangkan kepada keluarga. Pastinya selera anak lebih mudah ditawan. Akhir kata, SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU daripada kami, team majalah Rasa. Semoga anda semua sentiasa sihat dan terus memberi sokongan kepada majalah ini.

JUMPA LAGI BULAN HADAPAN.

SALAM SECANGKIR KATA,
Teh Rohaya Yusoh
teh.rohaya@karangkraf.com.my

 

 Tarikh Kemaskini : 26/12/2008