Ya Tuhan!
Tawar hati dengan suami kaki judi
Saya merupakan suri rumah sepenuh masa, isteri
dan ibu kepada empat anak-anak yang sudah tamat sekolah menengah. Saya berusia
awal 50-an dan telah mendirikan rumah tangga hampir 30 tahun. Masalah yang
menghantui saya kini ialah hubungan antara saya dan suami yang semakin hari
semakin jauh. Saya bukan ingin memburukkan suami tetapi hanya ingin mengetahui
apakah jalan penyelesaian yang boleh diambil.
Suami boleh dikatakan seorang kaki judi (bermain nombor ekor), tidak sembahyang
apatah lagi mengaji sejak dari awal perkahwinan hinggalah ke hari ini. Suami
hanya akan sembahyang bila saya mengajak dan menyuruhnya mendirikan solat.
Boleh dikatakan semua duit gajinya habis begitu sahaja jika tiada pengawasan
dari saya.
Namun masalahnya, jika saya mengawalnya setiap bulan, akan timbullah kata-kata
kesat dan hinaan kepada saya. Saya dikatakan ingin menghabiskan duitnya dan
pelbagai lagi hinggakan ke satu peringkat terpaksa berniaga kuih bagi menampung
perbelanjaan dirinya ke tempat kerja, belanja dapur dan juga persekolahan
anak-anak.
Suami juga pernah memberitahu kepada anak sulung yang ketika itu berusia 17
tahun “jika dia seorang, duit gajinya mungkin cukup”. Suami pernah
memenangi sejumlah wang hasil dari beli nombor ekor dan dia telah membeli
segala kelengkapan rumah seperti set bilik tidur, sofa dan lain-lain barang.
Selepas mengetahui dia membeli barang-barang itu dengan duit haram, saya benar-benar
kecewa dan nekad untuk menambah pendapatan keluarga dengan menjual nasi lemak
bagi mengelakkan kami dari menerima wang yang diberinya dari sumber yang haram.
Akibat tidak tahan dengan pergolakan rumah tangga, saya pernah bertindak melarikan
diri tapi dia datang atas sebab anak-anak yang masih memerlukan saya lagi
sebagai ibu mereka. Saya terus bersabar.
Dia pernah bersumpah dengan al-Quran yang dia tidak akan mengulangi lagi perbuatannya.
Tetapi malangnya selepas bersumpah, suami tetap meneruskan perangai buruknya.
Selepas saya mengetahui sikap buruknya itu, hati saya semakin tawar dan kami
tidak lagi tidur sekatil dan saya tidak lagi menjalankan tanggungjawab sebagai
isteri sepenuhnya.
Oleh kerana terlalu kecewa dengan sikapnya, saya pernah berkata yang antara
saya dan dirinya hanya diikat oleh sekeping kertas iaitu sijil nikah dan bukannya
kasih sayang. Kata suami, saya dan anak beranak tidak akan mampu hidup tanpanya
tambahan pula saya terpaksa menggadaikan barang kemas saya hanya untuk membayar
hutang pinjaman along yang dibuatnya.
Kini hati saya semakin tidak dapat memaafkannya dan pintu hati ini sudah tertutup
buatnya. Saya hanya bersamanya kini atas sebab dia bapa kepada anak-anak saya.
Anak-anak pula memang mengetahui perangai buruk bapa mereka. Bukan mereka
tidak pernah menasihatinya tetapi dia seorang yang ego dan tidak boleh menerima
pendapat dan nasihat orang lain.
Setiap kali, saya cuba menasihatinya, habis perangai buruk keluarga saya diungkitnya.
Pernah sekali duit pinjaman pelajaran anak saya digunakan untuk membayar hutang
keretanya. Saya pernah meminta bantuan kawan baiknya untuk menasihatinya tetapi
tidak berhasil.
Kini walaupun kami tinggal serumah, anak-anak amat jarang sekali bertegur
sapa dengannya. Kami hanya bahagia dan rasa bahagia apabila dia tiada di rumah
(keluar bekerja). Apabila dia ada di rumah, anak-anak akan masuk ke dalam
bilik masing-masing kerana tidak tahan mendengar pergaduhan antara saya dan
dia yang pasti berlaku setiap kali mendapat gaji.
Paling saya risaukan sekali ialah anak lelaki saya. Saya takut, dia akan lari
dari rumah akibat tidak tahan. Saya lihat anak-anak seperti hilang hormat
terhadapnya. Pernah suatu ketika anak-anak saya membayangkan kehidupan saya
dan mereka akan bahagia tanpa adanya bapa mereka. Mungkin mereka benar-benar
kasihankan saya.
Saya pernah berbincang masalah ini dengan suami dan hanya tengkingan yang
saya terima. Kini anak-anak sudah bekerja dan wang anak-anak pula yang dimintanya.
Saya benar-benar buntu kini, adakah saya patut meneruskan hidup bersamanya
dan dianggap isteri yang derhaka atau meneruskan hidup saya bersama anak-anak
tanpanya?