|
Untitled Document
 |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Korang semua apa khabar? Teruna harap semuanya sihat belaka dan sentiasa dirahmati tuhan. Kepada korang yang baru saja berkenalan dengan kolum ini selamat membaca Teruna ucapkan. Buat mereka yang sudi mengirimkan emel kepada Teruna, bingkisan penghargaan buat korang semua dari Teruna. Buat Nur Syaza Ismail, Hanis Nur, Aries Najia dan Hafiza Muhammad, teruskanlah sokongan korang terhadap majalah serba padat ini. Kemudian, berilah tahu dan perkenalkan majalah ini kepada semua sahabat korang yang lain. Teruna harap majalah ini akan terus menjadi sumber inspirasi kepada semua remaja bertudung di luar sana.
Penghujung bulan enam lalu, universiti Teruna sibuk dengan majlis graduasi yang berlangsung selama seminggu. Tidak seperti tahun-tahun lepas, kali ini Teruna tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai sukarelawan di dalam majlis yang diadakan. Teruna sibuk dengan hal-hal lain yang lebih penting di luar universiti. Sekembalinya ke universiti, sempatlah juga Teruna melihat-lihat gambar yang diambil sewaktu majlis diadakan. Wah, meriah jugak! Tak kurang hebatnya macam tahun-tahun sebelumnya. Semua yang berjaya menamatkan pengajian, tersenyum puas menggenggam ijazah masing-masing. Majlis penganugerahan ijazah dimulakan untuk para graduan school of veterinar dan kemudiannya diakhiri pada minggu berikutnya oleh school of education.
Bercerita tentang majlis ini, teringat pula Teruna pada kawan Teruna yang dulu sama-sama mengaji di UiTM. Dia begitu bersemangat untuk menimba ilmu di menara gading tapi sayang seribu kali sayang, dia terkandas kerana keluarganya kurang berada. Sebulan keluarganya hanya mampu berikan RM100 saja, jadi korang bayangkanlah macam mana mamat sorang ni nak survive. Biarpun berkali-kali memohon dana PTPTN kawan Teruna ni tetap gagal sedangkan kawan-kawan yang datang daripada keluarga kaya raya senang-senang saja dapat duit tu. Selama lima semester dia cuba bertahan dan akhirnya dia terpaksa juga berhenti dan meninggalkan kami rakan-rakan baiknya. Mungkin bukan rezeki dia agaknya dan apa yang paling menarik sekarang dia sudah menjawat jawatan profesional di sebuah syarikat swasta ternama. Hebatkan!
Jadi, apa yang Teruna nak tekankan di sini ialah sekiranya korang berpeluang melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi harap-harap korang bersedia. Jika sebelum ini ada abang atau kakak yang sudah pun melangkah ke universiti jadi keluarga sudah tentu mengerti apa yang harus dilakukan. Tetapi sekiranya korang yang mendahului adik beradik yang lain ke universiti, korang sendirilah yang perlu bersiap sedia daripada segi mental dan juga fizikal.
Mintalah pandangan dan nasihat daripada guru-guru di sekolah atau sesiapa sahaja yang anda rasakan layak. Bila sudah berada di universiti teruskan perjuangan dan bulatkan matlamat agar kamu tidak mudah tersasar dari landasan. Jika sumber kewangan menjadi punca menghalang kamu daripada meneruskan perjalanan, jangan cepat putus asa. Berusahalah selagi boleh. Selagi terdaya. Jagalah diri baik-baik dan hati-hatilah memilih kawan. Terpilih ke universiti bermakna korang adalah pelajar bijak dan terpilih jadi sudah tentu kamu dapat menilai apa yang terbaik untuk diri kamu, masa hadapan dan juga keluarga.
Daniel Irfan Zainal Abidin
teruna2dot@yahoo.com.uk
|