Bacaria : Suara generasi baru

 


Muka Depanteam EditorialLanggan Bacaria!PengiklananMaklum Balas

Nostalgia Raja Sehari
MUKA DEPAN

ARTIS MAKAN DARAH
Makan tauhu busuk campur kuah darah itik

“KITA diharuskan makan benda-benda yang baik dan telah ditetapkan dalam syariat Islam, jika kita sudah mengetahui benda itu haram seperti darah, daging babi malah bangkai, sewajarnya kita tidak memakannya kerana benda-benda tersebut dianggap sebagai najis,” tegas Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar.

Artis makan tauhu busuk campur kuah darah itik

SHAH ALAM: Tindakan seorang artis wanita popular tanah air beragama Islam yang menyertai satu pertandingan realiti TV di peringkat antarabangsa kini mendapat perhatian umum, bukan kerana keberaniannya, tetapi kerana didakwa mengabaikan aspek agama.

BACARIA menerima beberapa panggilan telefon yang menyatakan rasa kesal mereka dengan tindakan artis tersebut yang tidak berfikir tentang baikburuk menyertai pertandingan itu sehingga sanggup mengetepikan hukum dan syariat agama. Menerusi panggilan yang diterima, rata-rata mengaku kagum dengan semangat dan keberanian yang ditunjukkan aktres tersebut sewaktu menonton program tersebut di kaca TV.

Namun, apabila tiba tugasan yang memerlukan peserta, termasuk artis tersebut makan makanan yang ‘tidak masuk akal’ bagi menyempurnakan tugasan, mereka mula terfikir tentang hukum agama. Artis wanita tersebut dikehendaki makan tauhu busuk yang didakwa oleh pemanggil tauhu busuk tersebut turut telah dicampurkan dengan darah itik serta perlu menghabiskan kuah tersebut.

“Sepatutnya dia memikirkan tentang perkara ini lebih awal, sebelum membuat keputusan menyertai pertandingan itu. Saya harap selepas ini artis tersebut akan lebih berhati-hati sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Kalau mahu sertai pertandingan, pilihlah pertandingan lain yang tak perlu makan benda yang haram. Sebagai orang Islam dan dikenali ramai, perkara sebegini tak harus dipandang remeh,” kata seorang pemanggil dari Klang, Selangor.

Program yang dibuat di luar negara dan disiarkan di kaca TV itu memaparkan bagaimana gelagat, ragam dan aksi para peserta bertungkus-lumus menyelesaikan tugasan lasak dan ekstrem yang diberikan kepada mereka.

Antara tugasan paling sukar dan mencabar termasuklah makan tauhu busuk yang dicampurkan bersama darah itik serta makanan eksotik lain seperti katak, kala jengking dan pelbagai lagi.

“Saya buat panggilan telefon ni bukan mahu menyalahkan artis tersebut seratus-peratus. Mungkin dia sendiri tak sangka yang dia kena makan makanan sebegitu. Cuma saya harap selepas ini dia dapat berfikir dulu sebelum bertindak,” kata seorang lagi pemanggil yang juga peminat setia artis wanita itu.










 

Hakcipta Terpelihara
Bahan-bahan di laman web ini adalah untuk kegunaan persendirian sahaja.
Sebarang bentuk penyalinan, siaran, cetakan semula artikel dan gambar untuk kegunaan komersil adalah dilarang.
© 2007 - All Right Reserved by Karangkraf.com