AINURIZAM AINUDDIN, IKON MASKULIN YANG DINANTI-NANTI!
Pencarian Lelaki Maskulin 06/07 temui titik pengakhiran
Pencarian Lelaki Maskulin (PLM) musim kedua telah pun berlangsung dengan jayanya pada 15 April lalu di Berjaya Times Square. Setelah melalui pelbagai jenis program yang diatur oleh majalah Maskulin bagi menguji sejauh mana komitmen, kebolehan, semangat juang dan kesungguhan mereka bagi merebut gelaran Lelaki Maskulin Sejati, seterusnya ikon Maskulin 2006/2007, mereka diuji di pentas sebenar.
Mereka yang bertuah di antara 2000 penyertaan dan terpilih ke peringkat akhir ialah Johnna Chung, Divesh Kumar, Mohammad Fikhree Abu Bakar, Shahrizal Kasmaruddin, Syuzefril Mat Noor, Mohd Asyraff Kamaruddin, Syed Fadrilzamsyul Syed Adzman, Mohd Nasrul Anuar Mohd Taib, Abdul Razak Abdul Aziz, Mohamad Lutfi Yunus, Wan Adlin Wan Hasan, Ainurizam Ainuddin, Azri Abu Bakar, Mohd Aman Zakaria, Hamizey Ismail, Md.Amran Ismail, Kairul Nizam Abdul Malek, Luqman Hakim Abdul Malik, Shahnaz Kamarzaman, Muhamad Rafli Abu Bakar, Muhamad Luqman Abdul Mutalib, Syed Fairouz Syed Ali, Syed Hazlan Sayad Ali dan Amzari Amir.
Acara gilang-gemilang ini dihoskan oleh pengacara kecil molek, Sazzy Falak. Bagi menguji para finalis sebagai model catwalk dan ketrampilan diri, empat konsep ketrampilan diperagakan oleh para finalis. Bermula dengan konsep ‘Men At Work’ iaitu penampilan diri dengan pakaian kerja mereka dan diikuti sesi kedua, penampilan bersama pakaian sukan tajaan Everlast dengan senaman ringkas, simbol gaya hidup sihat.
Bagi konsep ketiga pula, para finalis menonjolkan diri dengan pakaian lasak serta pengembaraan yang ditaja oleh JEEP dengan aksi spontan dan tersendiri menghidupkan lagi suasana. Pertunjukan fesyen terakhir yang diperagakan oleh para finalis memukau perhatian semua apabila mereka tampil dengan penuh gaya yang macho dan terserlah ‘maskulin’ hasil tajaan koleksi FERAUD.
Sepuluh finalis yang terpilih ke peringkat akhir dan melalui sesi soal jawab untuk menguji tahap intelektual mereka ialah Johnna, Mohammad Fikhree, Syuzefril, Wan Adlin, Ainurizam, Mohd Aman, Hamizey, Luqman Hakim, Muhamad Luqman dan Amzari.
Seperti yang dijangka ramai, Ainurizam Ainuddin, 29, berjawatan sebagai Pengarah Kreatif, telah dipilih sebagai Lelaki Maskulin 2006/07 sekaligus menobatkan beliau sebagai Ikon Maskulin musim kedua ini. Beliau memenangi hadiah daripada pihak penaja, iaitu sebuah Scooter Naza Blitz NBS 150-3 sumbangan NAZA BIKES bernilai RM5,557, wang tunai RM3000 dari Kumpulan Karangkraf serta hadiah sampingan penaja yang kesemuanya bernilai RM15,000.
Tempat kedua pula dirangkul oleh Mohd Aman, 28 tahun, yang bertugas sebagai Ketua Pramugara. Sebuah SCOOTER, SYMPHONY NBS 125i/FL sumbangan NAZA BIKES bernilai RM4,270, Wang tunai RM2000 dari Kumpulan Karangkraf serta hadiah sampingan daripada pihak penaja yang kesemuanya bernilai RM12,000 menjadi milik Mohd Aman.
Wan Adlin dari Kota Bharu berusia 31 tahun, Pengurus Perhubungan Awam menduduki tempat ketiga yang memenangi hadiah bernilai RM8,000. Gelaran Lelaki Seksi pula dirangkul oleh Amzari, 25 tahun, Pembantu Produksi dan Mohd Lukman, 25, Kontraktor pula berjaya menjadi pilihan ramai untuk bergelar Lelaki Favorite.
Hadiah-hadiah disampaikan oleh Pengarah Urusan KKSB, Hussamuddin Hj. Yaacub dan Sophian Abd Rahman, Lelaki Maskulin Sejati 2004 yang menyampaikan anugerah Lelaki Maskulin Sejati 2006/2007. Lima orang juri yang menghakimi pertandingan ini ialah DR. Fadzli Yaakob, Pelakon, Penyanyi, Usahawan; Aziz. M. Osman, Penerbit/Pengarah Filem & Drama; Zaidi Che Nor dari Starhouse Production; Prof. Najib Nor, Ketua Program Fesyen, Fakulti Seni Reka, UiTM dan Cik Sharah Ibrahim, Editor Kumpulan, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. sebagai Ketua Juri.
Antara pihak penaja yang menyumbangkan hadiah ialah, BERJAYA TIMES SQUARE HOTEL sebagai Penginapan Rasmi selama dua hari, BERJAYA TIMES SQUARE sebagai lokasi rasmi, Naza Bikes, Lab Series, Roscani, Celebrity Fitness, Air Asia, Jeep, Feraud, Everlast, Praise & Slimming Beauty Professional, Hong Kong Sasa, Deuter, UFL, Loreal, Studio Line, ERA sebagai radio rasmi, NTV7 sebagai stesen tv rasmi dan BACARIA sebagai Rakan Media.
Antara penyanyi yang menghangatkan suasana Pencarian Lelaki Maskulin 2006/2007 ini ialah Nita Malaysian Idol, Fazli Zainal, Noryn Aziz, Ridhuan dan pendatang baru, Ejarn.
|