01. Muka Depan 02. Finalis 03. Syarat 04. Buku Pelawat 05. Karangkraf.com
 

 

Dari kiri: Norzita (pemenang ketiga), Norazlina (juara) dan Nawar Anisah (kedua).
 
Para pemenang dan Puan Ira Ghani.
     
Semua peserta selepas pertandingan.
 
Semua peserta.

Tahniah kepada Norazlina Mohamad, Pensyarah Bahasa Inggeris di International University College of Technology Twintech (IUCCT) yang berjaya meraih gelaran juara sulung Anugerah Personaliti Aura Seri – Dian NUR 2006 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim.

Norazlina berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500, pakej pelancongan 5 hari 4 malam ke Jakarta, Puncak & Bandung, Indonesia, hamper barangan Aura Seri/spa bernilai RM300, berserta hadiah iringan berupa trofi, jambangan bunga, bingkai gambar dan set kerongsang bernilai RM300 tajaan Ilham Creative Design Sdn. Bhd.

Tempat kedua diraih oleh pensyarah muda kelahiran Kuala Lumpur, Nawar Anisah Abdul Salam, 25, yang kini mengajar Bahasa Inggeris di Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya. Nawar Anisah berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, hamper barangan Aura Seri/spa bernilai RM300, berserta hadiah iringan berupa trofi, jambangan bunga, bingkai gambar dan set kerongsang bernilai RM300 tajaan Ilham Creative Design Sdn Bhd.

Pemenang ketiga, Norzita Yunus, 30, Pensyarah Komunikasi dan Bahasa Inggeris, Pusat Pengajian Kajian Liberal dan Infrastruktur di Kuala Lumpur Infrastructure University College (KLIUC) beroleh hadiah wang tunai RM1,000, hamper barangan Aura Seri/spa bernilai RM300, berserta hadiah iringan berupa trofi, jambangan bunga, bingkai gambar dan set kerongsang bernilai RM300 tajaan Ilham Creative Design Sdn. Bhd.

Lapan finalis lain - Puteri Nilofar Kamil, Siti Sarah Ismail, Norazlin Mohd Yusof, Nurul Azita Salleh, Mas Rini Azmi, Shazwani Jusoh, Khairul Bariah Ismail dan Sameeha Mohd Jamil - juga tidak pulang dengan tangan kosong kerana semua mereka beroleh hamper barangan Aura Seri/spa bernilai RM200 berserta bingkai gambar sebagai kenangan.

Anugerah Personaliti Aura Seri – Dian NUR 2006 merupakan acara kemuncak dan pelengkap pencarian personaliti guru anjuran majalah NUR terbitan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd. Anugerah yang berkonsepkan pertandingan pencarian personaliti guru terbaik ini dimulakan sejak Januari 2006 dengan menampilkan kalangan guru wanita terpilih setiap bulan dalam ruangan Cikgu Corner majalah NUR. Pertandingan ini bertujuan mencari dan mengiktiraf personaliti guru muda yang berketerampilan serta boleh dijadikan ikon dan sumber inspirasi kepada masyarakat secara keseluruhan.

Pertandingan akhir ini diadakan ketika berlangsungnya Karnival Hari Terbuka KHAR, UPSI, sempena sambutan 10 tahun UPSI pada 1 hingga 4 Februari 2007 lalu. Semua finalis dinilai oleh empat orang juri; iaitu pengasas Aura Seri, Ira Abd Ghani; Editor Kanan Karangkraf, Rusmin Fadzil; Pengetua KHAR, Hajah Zainab Othman; dan pengasas Rousse Design yang juga pereka fesyen busana Muslimah, Rosemawati Md Noh.

Hadiah utama ditaja oleh Positive Image Resources Sdn. Bhd., pengeluar produk Aura Seri dan Aura Genius yang diasaskan oleh Prof Dr. Ibrahim Ahmad dan isteri, Ira Abd Ghani. Selain Aura Seri dan KHAR, pertandingan yang julung-julung kali diadakan ini turut mendapat tajaan dan kerjasama Hotel Sahara Inn Tanjung Malim, Ilham Creative Design Sdn. Bhd., dan Nani Beauty World.



 
 
Laman web ini dibangunkan oleh Unit Penerbitan Web www.karangkraf.com. Bahan-bahan di laman web ini adalah untuk kegunaan persendirian sahaja.
Sebarang bentuk penyalinan, siaran, cetakan semula artikel dan gambar untuk kegunaan komersil adalah dilarang.
Sebarang soalan e-melkan kepada : webmaster@karangkraf.com.my